Hari ini, Pas Kelantan menafikan dakwaan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail bahawa kerajaan negeri tidak menjelaskan tunggakan bayaran yang diperuntukkan kepada pegawai lantikan politik tersebut.

Setiausaha Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, dakwaan Wan Azizah itu tidak munasabah.

Menurutnya, kerajaan Pas Kelantan telah memperuntukkan RM200,000 setahun bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala elaun lantikan politik PKR di negeri ini juga dijelaskan tanpa sebarang tunggakan.

Malah katanya, kerajaan ne­geri juga memberi bantuan untuk rakyat tanpa menggunakan peruntukan daripada mana-mana penyelia DUN.

“Perkara ini (lantikan politik PKR di Kelantan masih me­nunggu bayaran tertunggak) ti­dak muhasabah. Kita ada perun­tukan melalui rancangan kecil pembangunan untuk setiap DUN.

“Lantikan politik ini hanya mendapat bayaran elaun bulanan dan ia tidak tertunggak apa-apa pun. Jadi tidak berbangkit perkara-perkara lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Wan Azizah memberi kelonggaran supaya kesemua lantikan politik berkenaan meletak jawatan masing-masing menjelang akhir Julai selepas kedua-dua parti itu memutuskan kerjasama politik antara mereka pada Mei lalu.

Kelonggaran yang diberikan itu telah pun berakhir, namun masih belum ada mana-mana wakil parti PKR menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sehingga hari ini.

Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir dilaporkan berkata, mereka bukan ingkar arahan pucuk pimpinan parti tetapi memerlukan masa menyelesaikan beberapa masalah berbangkit terlebih dahulu sebelum meletakkan jawatan.

Bagaimanapun kelmarin, Wan Azizah dipetik daripada laporan portal Malaysiakini mendakwa, wakil mereka di Kelantan masih menunggu tunggakan bayaran yang sepatutnya dijelaskan kerajaan negeri dan sebelum ini mereka terpaksa menggunakan wang sendiri bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.