Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, janji-janji tersebut tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan perancangan teliti bagi memastikan keberkesanannya.

Walaupun begitu ujar beliau, ada antara janji berkenaan telah pun ditunaikan lebih awal sebelum PRU-14 seperti pemberian sumbangan kepada penarik beca sebanyak RM1,200 setahun serta sumbangan RM100 kepada pelajar tahun pertama Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Satu lagi ialah berkaitan pengecualian cukai pintu bagi yang bernilai RM50 ke bawah. Ini sudah dilaksanakan oleh MKPB-BRI (Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandar Raya Islam sejak beberapa tahun lepas. Sekarang kita rancang nak perkenal di seluruh negeri pula.

“Sementara itu, ada perkara lain perlu masa dan kesesuaian untuk ditunaikan, macam mewujudkan sebuah kolej kemahiran wanita. Kita kena rancang dengan teliti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menyerahkan 13,200 bungkusan kuih raya kepada wakil-wakil agensi penguatkuasa kerajaan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Amar berkata, penyerahan kuij raya merupakan program tahunan kerajaan negeri sebagai tanda ingatan kepada anggota yang bertugas pada musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. - UTUSAN ONLINE