Menurut Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, penyelesaian masalah menerusi konsep itu yang menjadi pegangan parti membolehkan pihaknya bebas bertemu dengan mana-mana parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa sahaja bagi bertukar-tukar fikiran dan berbincang berkaitan sesuatu isu.

“Persepakatan antara Pas Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang mempunyai peranan sama adalah bukan satu kesalahan dalam usaha menjadi pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk berfungsi selaku ‘semak dan imbang’.

“Walau bagaimanapun sekiranya, Pakatan Harapan merasakan PRN merupakan jalan penyelesaian tuntas, Pas bersedia menghadapinya,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyelar parti itu kerana menggesa penubuhan kerajaan perpaduan di Kedah, walaupun sebelum ini menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Memetik kenyataan dari sebuah portal berita prokerajaan Pakatan Harapan, Mahfuz turut menyifatkan Pas Kedah sebagai ‘kebuloq’ untuk berkuasa dengan cubaan menggunakan kerajaan perpaduan.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Fakhruddin, Pas Kedah juga bersetuju dan membuka ruang kerjasama dalam sesuatu perkara baik terutama mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat namun tegas menentang serta menolak perkara yang boleh membawa kesan buruk terhadap rakyat, tanah air dan agama.

Malah kata beliau, perkara tersebut turut dilakukan pada penggal lalu bersama ADUN DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PPBM untuk menjalinkan sepakatan jitu khususnya daripada pembangkang bagi menghadapi kerajaan negeri ketika itu dipimpin oleh BN.

“Selain itu, Pas juga bertemu dan berbincang dengan Menteri Besar yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan Kedah bagi mencari ruang kesepakatan untuk menyelesaikan kemelut isu speaker atas jemputan beliau.

“Malangnya, ada dalam kalangan pimpinan dari parti blok Pakatan Harapan Kedah yang membantah tanpa alasan munasabah selain melontarkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang ditawarkan oleh Pas,” katanya.

Dalam PRU-14, Pakatan Harapan memperoleh 18 kerusi DUN sementara Pas serta BN masing-masing 15 dan tiga.