Perkara itu dinyatakan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed sekiranya Majlis Syura Ulama membuat keputusan menamatkan hubungan dengan PKR.

Menurutnya, jumlah kerusi bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu melebihi 38 kerusi yang dikongsi dalam PRU lalu ketika masih bersama-sama pakatan pembangkang.

“Kalau Muktamar Pas memutuskan umpamanya kita bersendirian, maka kita akan bertanding lebih banyak kerusi dan mungkin lebih 40 kerusi.

“Tetapi kalau kita masih dengan PKR terutama­nya, kita akan bertanding mengikut status quo (keadaan sedia ada) seperti PRU lalu, iaitu 30 DUN dan lapan Parlimen," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Pas Johor yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Pas Pusat, Dr. Sanusi Daeng Mariok di Parit Sulong dekat sini hari ini.

Menurut Mahfodz, Pas negeri telah melakukan persediaan sejak beberapa bulan lalu termasuk melaksanakan program gerak gempur di kawasan-kawasan mereka.

“Kita juga sudah menerima senarai nama calon dari kawasan-kawasan dan sedang menapis mereka yang berpotensi serta diyakini boleh membawa kemenangan,” katanya.