Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Surat Tuntutan Menurut Protokol Pra-Tindakan Untuk Fitnah itu telah diserahkan kepada Clare Rewcastle Brown yang beralamat di London, England.

Menurut beliau, surat itu menyenaraikan tiga tuntutan yang harus diambil tindakan oleh Sarawak Report dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ia dihantar.

“Tiga perkara tersebut adalah meminta Sarawak Report membuang artikel tersebut daripada laman webnya, mahu Sarawak Report menyiarkan permohonan maaf atau penarikan segala tuduhan mengikut terma yang akan dipersetujui oleh Pas dan menuntut Sarawak Report memberi aku janji tidak akan menyiarkan dakwaan palsu pada masa akan datang,” katanya seperti dipetik Harakah Daily hari ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata, Pas akan me­ngambil tinda­kan undang-undang ter­ha­dap Sarawak Report berikutan laporan yang mendakwa wang seba­nyak RM90 juta te­lah disalurkan oleh Perdana Menteri dalam usaha mempe­ngaruhi pucuk pimpinan Pas untuk menjauhi Pakatan Harapan diketuai DAP.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, dua pihak turut dinamakan untuk menyaman portal tersebut iaitu parti Pas dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Takiyuddin dipetik portal Free Malaysia Today sebagai berkata, Pas mengambil masa yang lama untuk mengambil tindakan kerana perlu mencari peguam di United Kingdom (UK) yang boleh mengendalikan kes tersebut, selain memberi ruang kepada peguam berkenaan membuat kajian dan Pas mengesahkan isi kandungan surat tuntutan.

“Surat tersebut merupakan langkah pertama dalam memulakan tindakan saman,” jelasnya.