Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jentera parti itu dari seluruh negara sudah digerakkan bagi membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kami ada Jabatan Amal dan juga Alternative Riding Club (ARC) iaitu pemuda-pemuda bermotosikal yang berada di bawah Dewan Pemuda Pas. Saya telah mengarahkan kesemuanya untuk turun bantu calon BN menang dalam PRK Rantau ini.

“Saya ikuti dari awal dan mereka telah berikan kerjasama dengan jentera-jentera di sini. Alhamdulillah, jentera-jentera Pas dari seluruh negara yang mewakili negeri-negeri telah datang mengikut jadual dan berkampung di Rantau untuk bantu Tok Mat menang,” katanya ketika berucap dalam program Pentas Pemuda di Kampung Sendayan di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. ASyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting dan Ketua Pemuda MIC, R. Thinalan.

Sementara itu, Muhammad Khalil menjelaskan penganut agama dan bangsa lain di negara ini tidak perlu bimbang dengan agenda penyatuan ummah yang sedang dibentuk oleh UMNO dan Pas ketika ini.

“Keharmonian negara kita sejak merdeka patut diberikan pujian kepada BN. Mungkin ada sedikit sebanyak perselisihan, tapi itu biasala.

“Pas juga yang telah memerintah Kelantan sejak tahun 1990, masyarakat Islam di sana hampir 90 peratus, tapi hak kebebasan beragama semua rakyat diberikan kerajaan Pas, begitu juga di Terengganu, kami meraikan masyarakat majmuk yang ada di negara kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE