Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perhimpunan yang bertujuan menyatakan pendirian dan rasa syukur rakyat di atas respons positif kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu ICERD diyakini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, Pas sen­diri akan menggerakkan lebih 10,000 anggota Jabatan Amal parti itu dari seluruh negara bagi me­lancarkan lagi perjalanan program termasuk me­ngawal lalu lintas, memberi bantuan kecemasan kepada peserta serta membantu pihak berkuasa menjaga ketenteraman.

“Kita sasarkan 100,000 peserta dari Kelantan melibatkan penyokong Pas, manakala penyokong UMNO pula kita tidak tahu ke­rana ini merupakan urusan parti masing-masing.

“Para peserta ini ada yang pergi de­ngan bas, kereta dan pelbagai cara lagi. Ada yang ditaja, ada yang beli tiket sendiri. Ini inisiatif mereka sendiri,” katanya kepada pemberita se­lepas Me­syuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Selepas mempengerusikan mesyuarat, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan cuti peristiwa sehari selepas perhimpunan, iaitu pada 9 Disember bagi memberi lebih ruang kepada rakyat yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk menyertai program tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar menasihatkan ahli Pas supaya menjaga adab serta patuh pada arahan pihak berkuasa bagi memastikan ketenteraman awam dapat dikekalkan sepanjang program berlangsung.

“Kita juga nasihatkan ahli Pas supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang provokasi yang cuba ditimbulkan pihak tertentu pada hari keja­dian. Kalau ada provokasi, ja­ngan layan, sebaliknya buat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.