Cadangan Dewan Pemuda Pas itu adalah antara enam usul yang diluluskan tanpa bahas pada Muktamar Tahunan Pas Ke 64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri hari ini.


Dewan tersebut menyifatkan usul kesatuan survival politik itu sebagai penting berikutan kesedaran wujudnya gelombang perubahan dan kesedaran rakyat terhadap tuntutan politik yang memerlukan parti bertindak dari segi kepimpinan.


Antara lain, Dewan Pemuda Pas turut memberi usul untuk mempertahan akidah dan kedudukan Islam, mewujudkan jawatankuasa kerja bagi perkasakan Sabah, Sarawak dan Labuan, pemantapan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) serta mendesak kerajaan mengiktiraf sijil Maahad Tahfiz atau Sekolah Pondok untuk kelayakan masuk ke universiti awam dan sektor kerajaan.


Dewan itu juga mengusulkan lantikan politik dalam kerajaan Kelantan dan Terengganu diwujudkan sebagai bukti keikhlasan kepada rakan dalam Gagasan Sejahtera, sekali gus menjadikan mereka ejen semak dan imbang kepada sistem pentadbiran.


Sebanyak tiga usul diluluskan selepas perbahasan yang antara lain berkaitan solidariti Baitulmaqdis, peranan Pas sebagai pembangkang dan membantah cadangan mengiktiraf sijil Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC).


Muktamar Tahunan Pas ke-64 berakhir hari ini. - BERNAMA