Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, sebaliknya Pas konsisten melawan mana-mana parti atas faktor dasar dan bukannya kerana individu ekoran menganggap kebenaran sebagai kawan dan kebatilan sebagai musuh.

"Kita tidak macam Pakatan Harapan, yang mana UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat, itu kemungkaran tetapi yang kerajaan mereka buat, tak dianggap kemungkaran, senyap.

"Dalam soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda Global Ventures (FGV), kita lawan. Kita juga minta penyiasatan dilakukan ke atas projek untuk konsultan sahaja, membabitkan RM305 juta (kajian projek terowong dasar laut di Pulau Pinang).

"Ada tak tuan puan dengar kepemimpinan Pakatan Harapan tegur kerajaan Pulau Pinang? Kalau kerajaan Kelantan tidak betul pun kita tegur. Ini tak, pasal apa, pasal Najib. Kita tidak, bukan saja pasal Najib, Mahathir dulu pun kita lawan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Perak Istiqamah Himmah 12K yang diadakan di Padang Meru Raya, di sini hari ini.

Dalam pada berlainan, Idris menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai pilihan raya paling getir dalam sejarah perjuangan Pas.

Beliau berkata, Pas telah memasuki gelanggang pilihan raya sebanyak 13 kali kecuali hanya sekali pada tahun 1974 iaitu ketika parti itu menyertai kerajaan BN.

"Sebab itu, kita tengok mereka pening dengan kita kerana kita tidak sertai pilihan raya hanya sekali, lain semua kita lawan. Jadi, hendak bagi lawan mudah, tidak sama sekali," katanya. - UTUSAN ONLINE