DR. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
DR. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama tersebut membuktikan bahawa sebahagian besar pengundi Melayu masih menaruh kepercayaan terhadap Pas dan UMNO.

Katanya, perubahan kepada undi majoriti di DUN Seri Setia adalah disebabkan pendekatan yang kurang mesra Islam yang ditunjukkan oleh kerajaan PH ketika ini.

“Alhamdulillah, Pas berjaya di DUN Seri Setia iaitu dalam misi menurunkan majoriti PH, malah Pas juga berjaya menggembleng sebahagian besar undi Melayu menerusi kerjasama strategik Pas dan UMNO.

“Ia satu amaran untuk PH agar lebih berhati-hati dengan polisi-polisi tidak mesra Islam yang mereka lakukan, peratusan keluar mengundi yang rendah juga satu isyarat bahawa rakyat yang mengundi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak berpuas hati dengan segala janji yang tidak ditepati,” katanya dalam status di Facebook beliau, hari ini.

Semalam, Halimey Abu Bakar berjaya mengekalkan kerusi PH dengan jumlah undi sebanyak 13,725 berbanding calon Pas, Dr. Halimah Ali yang memperoleh 9,698 undi.

Walaubagaimanapun, Halimey memperoleh majoriti yang lebih rendah iaitu 4,027 undi berbanding majoriti undi 19,372 yang dimenangi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin pada PRU-14. - UTUSAN ONLINE