Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu penting bagi memuktamadkan keputusan dan pendirian parti terutama berkait kerjasama politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, pemukiman itu dijangka dilakukan dalam tempoh dua bulan lagi.

"InsyaAllah jalan selepas ini akan menjadi lebih mudah untuk Pas membuat langkah politik seterusnya dan saya percaya akan dibincangkan dalam pemukiman pimpinan Pas Pusat selepas muktamar ini.

"Tarikh kita belum tentukan lagi, asalnya hendak buat sebelum muktamar tetapi ini isu besar jadi kita nak tengok secara terperinci dan akan bincang lepas muktamar," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya muktamar petang tadi.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ucapan penangguhan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjangkaui keseluruhan perkara yang diperbahaskan sepanjang muktamar sekali gus membuka minda para perwakilan dan kepimpinan parti untuk menerima apa jua keputusan yang akan dipertimbangkan kelak.

"Presiden Pas telah meletakkan satu tanda aras untuk memberi kefahaman dan saya percaya pengalaman saya bersama para perwakilan pimpinan di pelbagai peringkat ini mereka boleh menerima apa yang disebut oleh Presiden," katanya. - UTUSAN ONLINE