Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, walaupun ketika ini kewangan parti itu tidak begitu kukuh, namun tidak menjadi penghalang kepada Pas meneruskan agenda perjuangan mereka.

Tambah beliau, sekiranya Pas memerlukan bantuan kewangan, parti itu akan menggunakan kaedah seperti diamalkan sebelum ini iaitu meminta sumbangan daripada ahli-ahli di seluruh negara.

“Pas tidak kemaruk RM90 juta seperti dituduh oleh pihak tertentu dan kami juga tidak mencari pihak luar untuk meminta bantuan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvesyen Pas negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa menerusi klip video yang tular mendakwa Pas menerima wang RM90 juta daripada UMNO seperti didedahkan Sarawak Report.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan laporan berkenaan yang dianggap fitnah dan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang. – UTUSAN ONLINE