Setiausaha Akhbar kepada Presiden Pas, Abdul Malik Ab. Razak berkata, pada masa sama, Pas akan menentang segala dasar dan usaha yang membawa ke arah keburukan dan kejahatan.

Katanya, konsep hubungan kedua adalah muwajayah silmiyyah iaitu Pas mendahulukan jalan damai dengan menghormati sistem demokrasi berparlimen di Malaysia serta sebarang tindakan menghuru-harakan dan mengucar-kacirkan keamanan negara tidak akan disokong.

“Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 memperlihatkan berlakunya perubahan politik negara apabila Pakatan Harapan berjaya mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Pas pula berjaya menawan kembali Terengganu dan mengekalkan Kelantan. Maka timbul desas-desus dalam kalangan rakyat tentang hubungan Pas dengan Kerajaan Persekutuan. Maka, saya jelaskan bagi memahami pendekatan Pas dalam membina hubungan dengan Kerajaan Persekutuan, ia berasaskan kepada empat konsep ini,” katanya seperti yang dipetik dalam Harakahdaily di sini hari ini.

Konsep ketiga, menurut Abdul Malik adalah menghormati konsep federalisme iaitu Kerajaan Persekutuan perlu menghormati hak demokrasi rakyat yang memilih kerajaan negeri selain Pakatan Harapan.

Katanya, kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pas akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan demi kepentingan rakyat dan negeri seluruhnya,

Menurutnya lagi, konsep keempat adalah konsep kerajaan memerintah semua rakyat.

“Bagi pihak kerajaan negeri mahupun Pusat, mereka perlu mengasihi dan menjaga rakyat tanpa mengira latar belakang kerana kerajaan memerintah rakyat pelbagai kaum, bangsa dan fahaman politik, bukan hanya ahli partinya sahaja,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE