Tetapi bagaimana pula de­ngan parti komponen BN yang kalah dua kali di kerusi Parlimen sama?

Adakah perlu dipertimbangkan calon daripada parti komponen yang lain pula untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 nanti?

Pengekalan kuota kerusi parti komponen BN di kawasan parlimen tertentu mungkin tidak lagi relevan.

Sebaliknya peluang wajar diberikan kepada parti yang lebih bekerja keras. BN wajar menilai calon dengan menggunapakai satu sistem baharu dan sukar.

Di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak contohnya, bukankah calon MCA telah kalah dua penggal berturut-turut sedang­kan peratus pengundi Melayu ialah 52.73 peratus.

BN menyerahkan kerusi itu untuk ditandingi calon MCA iaitu Tan Kok Eng. Namun, calon MCA ini tewas kepada calon Melayu daripada PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Sebelum itu pada PRU-12, calon MCA iaitu Datuk Tan Chai Ho tewas, juga kepada Abdul Khalid.

Pembahagian kerusi antara parti komponen BN perlu beri keutamaan kepada kriteria calon boleh menang dan disukai pengundi.

Pergeseran kecil atau ‘ribut dalam cawan’ barangkali berlaku. Namun demi memastikan survival politik, BN kena realistik dan praktikal.

Utamakan calon pilihan rakyat. Penasihat DAP, Lim Kit Siang sanggup berkelana sejauh Gelang Patah, Johor dari Ipoh Timur pada PRU-13. Dia mencuba dan akhirnya melepasi kekangan seorang calon heavyweight Johor. Namun rentak politik Kit Siang ini dipertikaikan juga kerana kerusi yang ditandinginya rata-rata pengundi majoriti Cina.

Sikap keterbukaan BN dalam memilih calon boleh menang antara nilai tambah yang boleh difikirkan.

Ini evolusi yang baik dalam meneruskan amalan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak 1957.