Calon BN yang juga penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican menang selepas memperoleh 22,459 undi berbanding dua lawannya iaitu Dr. Zaidi Zakaria (PKR) dan Siti Mastura Muhammad (Pas) yang masing-masing memperoleh 17,723 dan 12,120 undi.

Majoriti 4,736 undi itu bagaimanapun lebih tinggi berbanding undi majoriti yang diterimanya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu iaitu 4,176 undi.

Sementara itu, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin yang menyandang kerusi tersebut sejak tiga penggal lalu pula tewas dengan majoriti tipis iaitu 127 undi kepada Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman daripada PKR selepas memperoleh 7,627 undi berbanding lawannya yang menerima 7,754 undi.

Dua lagi calon DUN iaitu Shariful Azhar Othman (Bertam) dan Datuk Mohd. Zain Ahmad (Penaga) yang merupakan penyandang kerusi itu turut tewas kepada lawan masing-masing.

Shariful Azhar yang memperoleh 6,268 undi tewas dengan majoriti 217 undi kepada calon PKR, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq manakala Mohd. Zain yang bertanding satu lawan satu dengan calon Pas, Yusni Mat Piah pula tewas dengan majoriti 1,132 undi selepas hanya memperoleh 7,398 undi berbanding Yusni dengan 8,530 undi.

Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus PO41 Parlimen Kepala Batas, Hakmal Effendi Ishak kira-kira pukul 11.58 malam.

Dalam pada itu, Reezal Merican ketika ditemui memberitahu, beliau menerima semua keputusan yang diumumkan di Parlimen Kepala Batas dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai 'pilihan rakyat'.

"Saya memuji ketiga-tiga ADUN (Roslan, Md. Zain dan Shariful Azhar) di bawah saya sebelum ini kerana menjalankan tugas mereka dengan cukup hebat selama lima tahun.

"Lebih daripada itu, mereka masih datang ke sini (pusat penjumlahan undi) meskipun tahu sudah tewas kerana nak tunjukkan bahawa walaupun kalah, ini bukan tandanya berakhir sebuah perjuangan," katanya. - UTUSAN ONLINE