Calon BN yang juga penyandang kerusi Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menewaskan calon Pas, Mohamad Hamid dan calon PKR, Azran Deraman dengan majoriti 6,647 undi.

Mustapa mendapat 21,665 undi manakala Mohamad Hamid memperoleh 15,018 undi dan Azran pula hilang wang deposit kerana sekadar meraih 2,078 undi.

Pengerusi BN juga mempertahankan kerusi DUN Air Lanas apabila menewaskan calon Pas, Datuk Abdullah Ya’kub dan calon PKR, Dr Aminuddin Yaacob dengan majoriti 359 undi.

Beliau meraih 7,243 undi manakala Abdullah mendapat 6,884 undi dan Dr. Aminuddin 608 undi.

Datuk Adhan Kechik yang memperoleh 7,088 undi pula mengetepikan calon Pas, Ramzi Md. Yusoff (5,987 undi) serta calon PKR, Asran Alias (659 undi) untuk terus kekal di DUN Bukit Bunga dengan majoriti 1,081 undi.

Di DUN Kuala Balah, calon BN, Datuk Abdul Aziz Derashid mempertahankan kerusi tersebut apabila mendapat 5,592 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Apandi Mohamad (4,714 undi) dengan majoriti 878 undi

Keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jeli, Zulkifli Ab. Rahman pada pukul 12.30 tengah malam ini.

Sementara itu, Mustapa ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana masih memberi kepercayaan kepada beliau, Adhan dan Abdul Aziz untuk sekali lagi menjadi wakil rakyat bagi tempoh lima tahun lagi.

Beliau juga berikrar untuk meneruskan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Jeli termasuk memastikan kesinambungan agenda pembangunan di seluruh kawasan ini.

“Saya percaya rakyat memilih kami sekali lagi kerana prestasi dan rekod perkhidmatan kami yang baik selama ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE