Sejak dua minggu lalu, pe­nganalisis politik dan media membuat spekulasi bahawa Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen, sehari sebelum Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto parti itu di Bukit Jalil iaitu Sabtu ini.

Sebelum ini beberapa menteri tidak menolak kemungkinan Parlimen akan dibubarkan esok selepas Najib mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir di Putrajaya. Jika pembubaran itu berlaku ada yang menjangkakan penamaan calon akan diadakan pada minggu ketiga bulan ini manakala pengundian dijalankan pada minggu pertama Mei.

PRU-14 merupakan kali kedua Najib mengetuai BN dalam PRU sejak mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.

Untuk rekod PRU-13 telah diadakan pada 5 Mei 2013 selepas pembubaran Parlimen pada 3 April 2013 manakala penamaan calon pada 20 April 2013.

Pilihan raya kali ini juga me­nyaksikan Suruhanjaya Pi­lihan Raya (SPR) mengadakan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang me­nyaksikan perubahan nama kepada 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Mengikut Laporan Kajian Semula Persempadanan yang dikeluarkan oleh SPR, jumlah pengundi mengikut daftar pemilih semasa yang diperakui dan diwartakan pada 13 Mei 2016 dan 6 September 2016 adalah sebanyak 11,379,352 orang.

Daripada jumlah itu Selangor mencatatkan jumlah pengundi terbanyak iaitu 2,078,311 orang diikuti Johor 1,649,311 orang, Pe­rak (1,407,529 orang), Kedah (1,044,444 orang), Kelantan (940,591 orang), Pulau Pinang (867,748 orang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (788,413 orang), Pahang (740,023 orang), Terengganu (669,546 orang), Ne­geri Sembilan (557,137 orang), Melaka (456,645 orang), Perlis (137,098 orang), Wilayah Persekutuan Labuan (25,109 orang), Wilayah Persekutuan Putrajaya (17,627 orang).

Turut menjadi perhatian dalam pilihan raya kali ini ialah pertembungan BN de­ngan parti-parti pembangkang yang berpecah kepada dua blok iaitu Pakatan Harapan diketuai DAP yang turut di­sertai oleh PKR, PAN dan PPBM manakala Pas membuat keputusan tidak menyer­tai pakatan tersebut yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.