Justeru negeri yang masih disuburkan kemakmuran dengan ditunjangi oleh hasil petroleum, yang diberi nafas segar melalui transformasi oleh kepemimpinan kini, seakan masih memberi harapan besar kepada pakatan pembangkang dalam memenuhi impian untuk me­nguasai pemerintahan.

PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), parti terbaharu serpihan da­ripada dua parti dominan Melayu utama bersama dengan PKR dalam pakatan itu dikatakan menyasarkan mampu memenangi sekurang-kurang­nya 20 kerusi.

Ada yang mengibaratkan pakatan pembangkang seakan ‘berudu’ berkepala besar de­ngan impian mereka itu kerana bukan sahaja perlu menentang UMNO tetapi juga melumpuhkan satu parti pembangkang, Pas yang bertapak di 14 kerusi DUN (selain satu kerusi PKR) dan empat kerusi Parlimen dalam PRU-13.

Pas turut yakin ia mampu bersendirian untuk kembali memerintah setelah diberi peluang sepenggal sebelum ditolak semula oleh rakyat, namun perlu disedari landskap permainan politik semasa sangat berbeza dan mungkin sukar diduga kali ini.

Parti yang dituding oleh mereka semakin tersasar da­ripada perjuangannya, Pas di­lihat menjadi halangan paling besar dalam usaha memacu langkah pakatan pembangkang untuk berkuasa.

Justeru serangan lebih banyak terarah kepada parti itu dan pemimpinnya berbanding dengan kepe­mimpinan kerajaan BN kini, dan ini pula lebih kerap dilakukan melalui laman sosial tanpa perlu berinteraksi meluas dengan masyarakat.

Namun barisan kepemim­pinan ketiga-tiga parti dalam parti itu di negeri ini dianggap oleh sebilangan pemerhati politik masih tidak ‘merencah’ dalam masyarakat umum dan ketokohan mereka untuk menarik pengundi masih dipersoalkan selain bersandarkan nama besar dan isu besar di peringkat nasional.

Dalam menghadapi PRU-14, pengagihkan kerusi perkiraan asas pakatan pembangkang ialah keutamaan PAN bertanding dikerusi yang dimenangi Pas manakala PPBM di kawasan dikuasai UMNO sementara PKR di kerusi tradisi mereka.

Bagi kerusi Parlimen sudah diputuskan PAN bertanding di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang manakala PKR di Kemaman dan Dungun sementara PPBM di Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.

Dalam pembahagian ke­rusi DUN pula, setakat ini difahamkan PAN akan bertanding di lapan kerusi manakala PPBM 10 dan PKR tujuh manakala selebihnya belum dapat diputuskan ketika setiap parti mengharapkan agihan lebih besar.

Realiti, dalam waktu yang singkat mereka berdepan dengan laluan sukar mereka untuk mengubah pendirian sebahagian besar penyokong Pas untuk beralih kepada pakatan pembangkang, sementelahan tiada seorang pun tokoh besarnya di ne­geri ini yang berpaling tadah.

Pengaruh Pas bagi mengikat penyokongnya di ne­geri ini masih menebal, dan pertandingan tiga penjuru di semua kerusi dan PAN berjaya menarik peratusan kecil pengundi, ia hanya memberi kelebihan lebih besar kepada parti pemerintah itu jika meletakkan calon yang benar-benar diterima.

Jika selama ini soal siapa yang lebih Islam yang dijaja dan menjadi batas pemisah antara Pas dan UMNO, tentu­nya sekarang umum melihat tiada bezanya, dan kepemim­pinan kini telah cuba melakukan apa yang terbaik untuk negeri ini. Mengapa perlu di­ulangi sejarah silam atau beralih kepada ketidaktentuan?