Manakan tidak, PAN yang menjadi benteng paling hadapan mempertahankan DAP dalam isu-isu berkaitan umat Islam dan soal Melayu hanya diberikan 27 kerusi Parlimen untuk bertan­ding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

PAN yang merupakan parti serpihan Pas patut diberikan lebih kerusi Parlimen, setan­ding dengan pengorbanan mereka memecah-belah dan memporak-perandakan Pas tetapi perkara itu tidak berlaku.

Pengorbanan PAN seolah-olah langsung tidak dihargai. Jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diberikan kerusi gred C yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN), PAN pula seperti diberikan kerusi gred E di mana majoriti kerusi yang diberikan merupakan kubu kuat Pas dan BN.

Jika dilihat daripada 27 kerusi Parlimen yang bakal ditandingi PAN, calon daripada parti yang diterajui Mohamad Sabu itu akan berdepan dengan laluan getir.

Daripada 27 kerusi Parlimen yang diagihkan itu, 10 kerusi iaitu Padang Terap, Sik, Kepala Batas, Parit, Kuala Selangor, Kuala Pilah, Jempol, Jasin, Parit Sulong dan Pulai dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Manakala 16 kerusi lagi iaitu Pokok Sena, Pengkalan Chepa, Kuala Krai, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Parit Buntar, Bukit Gantang, Temerloh, Shah Alam, Kota Raja, Sepang, Hulu Langat dimiliki Pas dan hanya satu kerusi dimenangi PKR (Lumut).

Jika diperhatikan, kemenangan untuk calon PAN pada PRU-14 umpama cahaya di hujung terowong.

Bagaimana PAN mahu memastikan kemenangan mereka jika berdepan dengan calon ‘heavyweight’ seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kawasan turun temurun beliau iaitu Parlimen Marang di mana Abdul Hadi menang pada PRU-13 dengan majoriti 5,124.

Begitu juga di kerusi-kerusi Parlimen yang menjadi kubu kuat BN seperti Parlimen Kepala Batas yang kekal didominasi oleh UMNO sejak dari zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini kesinambungan UMNO di kerusi berkenaan diteruskan oleh Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Hanya terdapat lima kerusi Parlimen yang boleh dikatakan sebagai kerusi selamat kepada calon PAN iaitu Parit Buntar, Shah Alam, Kota Raja, Sepang dan Kuala Terengganu.

Namun perlu diingat wakil rakyat PAN yang memenangi kerusi berkenaan, Datuk Dr. Mujahid Yusof (Parit Buntar), Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menang atas tiket Pas pada PRU-13 tetapi de­ngan pengkhianatan mereka terhadap Pas sudah pasti undi daripada penyokong parti itu telah hilang.

Setidak-tidaknya jika berlaku pertandingan tiga penjuru di lima kerusi Parlimen berkenaan antara Pas, BN dan PAN tidak mustahil BN boleh merampas kerusi itu kembali berdasarkan perpecahan undi dalam kalangan penyokong pembangkang.

PAN kini sekadar gigit jari, DAP pasti menang dengan bergaya di 35 kerusi selamat yang dipertan­dingkan tidak termasuk kerusi Parlimen untuk DAP di Sabah dan Sarawak. Apa pun yang berlaku DAP tetap taiko yang perlu dituruti kehendaknya.