Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz secara berkias di laman Facebook beliau hari ini berkata, PAN perlu berhenti mengaitkan Pas dengan UMNO atau Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

“Sebelah sana (PAN) sering cakap nak kalahkan Pas di Kelantan, akan bertanding di semua kawasan yang ditandingi Pas.

“Bila sebelah sini (Pas) cakap nak tawan dan tambah empat atau lima negeri dan bakinya Barisan Nasional (BN) kekal perintah sebelah sana mula meroyan kata Pas kerjasama dengan UMNO.

“Nak sangat usaha sendiri, UMNO itu kan sekali jentik sahaja boleh tumbang,” katanya.

Pada Februari lalu, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata, PAN boleh mengambil alih Kelantan daripada Pas dan memerintah negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Salahuddin berkata, ia boleh berlaku memandangkan Pas kini mengalami perpecahan dalam, sekali gus boleh menyebabkan sokongan terhadap parti menyusut.

Menurut Nik Mohamad Abduh, soal kerjasama dengan UMNO itu tidak pernah timbul di dalam Pas seperti dakwaan PAN.

“Bila pula sebelah sini perlu kerjasama dengan sebelah sana? Bila pula sebelah sini kata bahawa baki negeri kita kena bagi kepada sebelah sana,” katanya. - UTUSAN ONLINE