Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak ada sebab penganjuran perhimpunan tersebut tidak mendapat sokongan seluruh rakyat negara ini melainkan mereka yang menolak menyertainya harus bersedia untuk dipersoalkan rakyat.

Katanya, ini memandangkan soal Palestin cukup dekat di hati rakyat dan semasa menerajui Pergerakan Pemuda UMNO, perjuangan isu ini mendapat sokongan padu daripada Pemuda UMNO, MCA, MIC dan rakan parti Barisan Nasional (BN) yang lain.

“Tidak ada sebab apa yang mahu dilakukan pada Jumaat ini tidak mendapat sokongan daripada semua pihak, tidak kira Islam, bukan Islam, ideologi dan parti politik yang lain. Kalau mereka membuat pilihan yang tidak sama, terserah kepada mereka.

“Namun, masyarakat akan mempersoal pendirian mereka berhubung isu Palestin,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub yang memaklumkan parti itu tidak akan menghantar wakil pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis yang akan diadakan di Masjid Putra, Jumaat ini.

Dalam sidang akhbar Salahuddin hari ini, beliau memberitahu, barisan kepemimpinan PAN membuat keputusan tersebut semalam selepas melihat cara perhimpunan itu dipromosikan yang mengetengahkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, keperluan Malaysia untuk membuka pejabat kedutaan di Baitulmuqaddis Timur perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, perkara tersebut juga perlu dibincangkan dan mendapat persetujuan di peringkat Kabinet.

“Kita perlu membincangkan perkara ini dengan mengambil kira beberapa aspek seperti ekonomi, keselamatan serantau dan hubungan luar. Untuk itu, kita perlu mendapatkan pandangan kementerian berkaitan seperti Wisma Putra, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Setelah memperoleh pandangan pihak-pihak berkenaan, insya-Allah kita dapat membuat keputusan dengan mengambil kira apa jua kebimbangan yang mungkin timbul,” katanya.