Berdasarkan pengumuman itu yang dibuat secara berperingkat sejak seminggu lalu, PPBM yang dibubarkan sementara memperoleh kerusi Parlimen paling banyak antara parti dalam gabungan tersebut iaitu enam kawasan melibatkan Lipis, Jerantut, Paya Besar, Pekan, Maran dan Kuala Krau.

Calon PBBM juga diletakkan bertanding di sembilan kerusi DUN iaitu Padang Tengku, Tahan, Peramu Jaya, Bebar, Chenor, Jenderak, Kemayan, Bukit Ibam dan Muadzam Shah. Kesemua kerusi tersebut disandang oleh wakil rakyat UMNO mewakili BN.

Walaupun diletakkan bertanding di banyak kerusi, hakikatnya kawasan-kawasan berkenaan adalah kubu Barisan Nasional (BN) dan dilihat sukar dimenangi mereka.

Perkara itu bukan menghairankan kerana sejak dari awal sudah diramalkan gabungan pembangkang PKR dikuasai DAP akan meletakkan calon PPBM bertanding di kerusi gred C.

Nasib lebih buruk berlaku kepada PAN yang seolah-olah menjadi parti tidak diberikan harapan tinggi oleh gabungan pembangkang PKR apabila diletakkan bertanding di kerusi-kerusi yang sukar dimenangi mereka.

Lebih menyedihkan bagi PAN apabila mereka hanya diletakkan bertanding di satu kerusi Parlimen iaitu Temerloh. Itupun terpaksa ‘mengimport’ calon yang pernah tewas di Perlis pada Pilihan Raya Umum 2008 ketika bertanding atas tiket Pas untuk mencabar kerusi tersebut yang ketika ini disandang wakil rakyat Pas.

Sudah pasti pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru berlaku di kerusi berkenaan kelak yang dilihat boleh menyempitkan lagi peluang PAN menawan kerusi berkenaan.

Gabungan pembangkang PKR turut meletakkan calon PAN di sembilan kerusi DUN iaitu Pelangai, Dong, Tioman, Jengka, Kerdau, Guai, Semantan, Pulau Tawar, Beserah, Lepar, Tanjung Lumpur.

Seperti diduga, majoriti kerusi yang diterima parti itu adalah kubu kuat BN dan Pas. Di Pelangai umpamanya, kerusi berkenaan disandang oleh calon ‘heavyweight’, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Menteri Besar Pahang dan sudah tujuh penggal bertapak di situ sejak 1986.

Laluan getir juga menanti mereka di kerusi didominasi oleh UMNO seperti DUN Tioman yang dimenangi dengan majoriti 4,086 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Pulau Tawar (majoriti 3,496 undi), Lepar (majoriti 3,243 undi), Kerdau (majoriti 2,513 undi) dan Guai (majoriti 2,398 undi).

Kerusi Tanjung Lumpur dan Beserah pula masing-masing disandang oleh orang kuat Pas Pahang iaitu Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Timbalannya, Andansura Rabu.

Dalam pengagihan kerusi ini, DAP yang mendapat untung apabila bertanding di kawasan berpotensi untuk menang atau kawasan sudah dikuasai mereka.

Parti yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia itu bertanding di 11 kerusi di Pahang termasuk tiga kawasan Parlimen iaitu Bentong, Cameron Highlands, Raub.

Bagi DUN, DAP bertanding di Ketari, Tanah Rata, Mentakab, Pulau Manis, Triang, Sabai, Bilut dan Tras. Pada saat calon-calon DAP diletakkan bertanding di kerusi berpontesi, parti itu juga lebih bijak bermain strategi apabila meletakkan tiga calon Melayu termasuk aktivis Melayunya, Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara bertanding di DUN Ketari.

Strategi untuk cuba memancing undi orang Melayu itu tidak sukar dibaca. Malah, ia juga dilihat sebagai langkah awal parti tersebut bertanding di kerusi-kerusi majoriti terdiri daripada orang Melayu. Lagipun, tiada apa yang parti yang sanggup menggadaikan logonya pada PRU-14 tersebut perlu bimbangkan sangat kerana sudah ada kerusi ‘selamat’.

Hanya PKR yang belum mengumumkan sepenuhnya calon-calon mereka selepas memperkenalkan penyelaras melibatkan Parlimen Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar dan DUN-DUN di bawah kawasan itu dalam satu majlis makan makan kelmarin. Difahamkan, setiap penyelaras Parlimen dan DUN yang dilantik itu turut menjadi calon gabungan pembangkang PKR pada PRU-14.

Berdasarkan perkiraan pembahagian kerusi gabungan pembangkang PKR ini, pusing sini atau pusing sana, yang untung tetap DAP dan sekutu kuatnya, PKR manakala dua parti Melayu khususnya PAN sekadar melukut di tepi gantang. - UTUSAN ONLINE