Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, seperti biasa, ancaman sebenar bagi parti itu di Perlis hanyalah Barisan Nasional (BN).

Katanya, PAN yang hanya mempunyai ahli seramai 404 ahli di negeri ini tidak akan mampu menggugat Pas.

"Jumlah ahli Pas di negeri ini yang beralih arah kepada PAN tidak sampai satu peratus malah ramai dalam kalangan mereka sudah kembali kepada Pas. Jadi saya lihat, saingan utama Pas di Perlis ini hanyalah BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis dialog rakyat ‘Anda Tanya, Pas Jawab’di Bangunan Koperasi, Medan Syed Alwi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali; pemimpin-pemimpin Pas setempat dan lebih 100 ahli parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, Pas akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada pilihan raya nanti.- UTUSAN ONLINE