MOHAMED AZMIN ALI

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Masjid Taman Tun Teja di sini menyifatkan, dakwaan PAN ko­nonnya tiada jawatankuasa khas pembahagian kerusi DUN dibentuk oleh Pakatan Harapan Se­langor sehingga kini adalah tidak benar.

Sebaliknya, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Selangor yang diketuai DAP itu menegaskan pihak­nya telah mengadakan empat kali mesyuarat membincangkan pembahagian kerusi DUN itu sebelum ini.

Bagaimanapun sehingga kini katanya, tiada sebarang persetujuan dicapai membabitkan kepimpinan PKR, DAP, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Selangor.

“Amanah (PAN) tidak berkata benar. Amanah yang tak ama­nah. Kami (PKR) sudah berjumpa empat kali sebelum ini atas nama Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan Selangor. Sekarang mereka (pimpinan Pakatan Harapan Selangor) mahu ubah kepada ‘Jawatankuasa Khas Pengagihan Kerusi’, namun keanggotaan ahli jawatankuasa berkenaan masih sama.

“Kami telah bertemu seba­nyak empat kali untuk berbincang bukan sahaja isu pembahagian kerusi, tetapi juga isu-isu lain berkaitan dengan PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14). Dalam perbincangan itu, sudah tentunya rundingan kerusi merupakan isu utama yang dibincangkan,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim dilapor menggesa Mohamed Azmin supaya akur dengan arahan pucuk pimpinan Pakatan Harapan yang diketuai DAP supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi membincangkan soal agihan kerusi DUN di negeri ini.