Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini tiada fakta kukuh yang menunjukkan gabungan DAP, PKR, PAN dan PPBM akan menang dalam PRU 14.

Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, pihaknya tidak bimbang dengan pakatan berkenaan malah sebaliknya yakin Pas mampu menghadapi pilihanraya dengan lebih kuat.

“Tidak ada ramalan pun mengatakan bahawa Pakatan Harapan akan menang.

“Kita lihat tiada fakta boleh menunjukkan DAP dan Pakatan Harapan akan berjaya seperti parti-parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Ahli Majlis dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 288 Ahli Majlis yang diwakili Yang Dipertua PBT masing-masing menerima watikah pelantikan daripada Menteri Besar. - UTUSAN ONLINE