Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sudah sampai masanya untuk kerajaan melunaskan janji tersebut kerana telah diberi mandat oleh rakyat yang memilih pakatan itu.

“Mereka sudah menang kena tunaikan janji supaya pengundi yang memilih kerajaan baharu tahu sejauh mana ia dapat ditunaikan. Jangan beri alasan negara banyak hutang sehingga tak dapat laksanakan janji.

“Masa buat janji dulu tentu mereka tahu keadaan ekonomi negara dan sekarang baru terperanjat sampai buat tabung, menitiskan air mata. Usah berlakon kerana masa berkempen sudah tamat dan sekarang masa untuk mentadbir kerajaan.

“Saya harap kerajaan tunaikan kerana janji itu yang mempengaruhi banyak orang memilih mereka, ja­ngan beri banyak sangat alasan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Khatam al-Quran Perdana di sini, hari ini.

Majlis tersebut anjuran Pertubuhan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti).

Dalam pada itu, Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar melahirkan kebimbangan terha­dap sikap segelintir pihak yang bertindak keterlaluan dengan mempersoalkan status dan hak orang Melayu dan Islam ketika ini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak melampaui garis sempadan antara kaum dan agama kerana dibimbangi perbuatan itu akan menggores hati kelompok tertentu.

“Rakyat Malaysia berjiwa besar, kita ada garis sempadan yang dihormati selama ini. Kita lihat ada kenyataan yang biadab mempersoalkan agama Islam dan hak orang Melayu. Kalau ini diperkotak-katikkan nanti timbul pera­saan tidak puas hati.

“Saya harap orang ramai berhati-hati apabila mengeluarkan ke­nyataan secara terbuka atau melalui media sosial. Kita tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini,” katanya.