Pengerusinya, Ameir Hassan berkata, bagi sebuah negeri sekecil Perlis juga tidak seharusnya masih mempunyai penduduk miskin tegar.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan bilangan penduduk yang masih tiada rumah sehingga kini dan jumlah rakyat miskin tegar.

“Masih ada rakyat tiada rumah yang sempurna sedangkan kita sudah 60 tahun merdeka.

“Kita ada 15 wakil rakyat tetapi masih ada penduduk miskin tegar. Masih ada rumah yang tingkapnya menggunakan guni dan ada pelajar tidak mempunyai kasut untuk ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi mengumumkan senarai barisan Pakatan Harapan negeri diketuai DAP terdiri daripada DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.

Ditanya tentang isu perlawanan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Ameir mendakwa perkara itu tidak relevan buat gabungan parti pembangkang tersebut.

“Kita tidak perlu sesiapa menggertak kami untuk bertanding dua, tiga atau empat penjuru. Bagi kami ini tidak relevan,” ujarnya.

Kata beliau, sehingga kini, pakatan berkenaan telah selesai 90 peratus pembahagian kerusi antara parti-parti di dalam gabungan pembangkang tersebut.

“Kita sudah adakan empat kali mesyuarat perbincangan pembahagian kerusi. Kita tidak dapat umumkan kerusi itu kerana adalah rahsia,” katanya. - UTUSAN ONLINE