Masalah air di Selangor yang meruncing, seiring dengan bekalan air percuma di samping janji menghapuskan tol bagi lebuh raya yang masih dikutip, contoh terbaik pendekatan populis itu tanpa pendekatan untuk menyelesaikan permasalahan.

Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, DATUK DR. NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS ketika diminta pandangannya menyifatkan semuanya nampak idealistik tetapi tidak realistik.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, WAN ZULKIFLI WAN YAACOB, beliau menjelaskan, mereka (pembangkang) kemudian akan beri 1,000 alasan mengapa ini perlu diteruskan dan yang penting mendapatkan keyakinan rakyat untuk berkuasa.
 

UTUSAN: Apa komen Datuk berhubung manifesto Pakatan Harapan?

NAJMIL FAIZ: Hanya mengulangi janji-janji lama dengan sedikit janji tambahan sebagai umpan untuk meraih undi rak­yat. Janji seperti mengehadkan kuasa Menteri, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selama dua penggal hanyalah sebagai umpan sedangkan hakikatnya mereka yang kini me­nguasai beberapa negeri pun tidak sanggup berbuat begitu.

Mengapa tidak mulakan de­ngan Ketua Menteri dan Menteri Besar di Pulau Pinang dan Selangor? Bukankah ini lebih mudah dan menjadi bukti nyata? Begitu juga soal pendidikan percuma. Mengapa universiti di bawah kerajaan negeri di Sela­ngor masih mengenakan yuran? Bahkan yuran sekolah agama rakyatnya lebih mahal daripada di negeri-negeri lain. Di manakah pula janji untuk mendaulatkan Islam?

Pakatan Harapan berjanji untuk menghapuskan GST enam peratus. Apakah kesannya dari segi ekonomi jika ia dilaksanakan?

Mereka mahu kembalikan cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus (SST) yang jelas tidak telus dan efisien. Apakah kita mahu kembali ke belakang? Apakah Pakatan Harapan sanggup membuang lebih RM20 bilion pendapatan negara dengan kembali kepada SST yang berjumlah RM17 bilion sahaja kutipannya?

Malah, bagaimanakah caranya mahu tampung kekurangan le­bih RM20 billion? Tanpa alternatif untuk menampung ke­kurangan, maka perkemba­ngan ekonomi negara yang sedia ada akan terbantut. Saya percaya mereka kemudiannya akan memberikan seribu alasan untuk meneruskan, kerana terbukti mampu menambah pendapatan negara untuk kerajaan menyediakan prasarana yang lebih baik untuk rakyat.

Adakah anak muda akan tertarik dengan manifesto tersebut?

Saya yakin, anak muda yang rasional tidak akan terpengaruh dengan janji-janji dalam manifesto itu kerana sedar bahawa segala perkara yang dijanjikan sukar untuk dilaksanakan berdasarkan realiti kehidupan rak­yat dan negara kita.

Sebagai contoh, dulu mereka janji nak hapuskan hutang PTPTN. Sekarang mereka kata bila gaji kasar melebihi RM4,000 baharu mula bayar. Mereka sendiri tidak tetap dan keliru dalam menyusun manifesto. Janji nak hapuskan hutang PTPTN pun Pakatan boleh u-turn.

Beberapa perkara yang mahu dihapuskan atau dilaksanakan dilihat tidak realistik, apa komen Datuk?

Antara perkara yang tidak rea­listik yang dicanangkan PH adalah seperti penghapusan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga PTPTN dalam manifesto pembangkang sebelum ini. Namun manifesto 2018 ini mereka mahu untuk meneruskan pemberian BR1M dan PTPTN. Bagi saya, manifesto Pakatan Harapan ha­nyalah bersifat manifesto populis untuk meraih sokongan pengundi sedangkan kebanyakan janji itu sukar direalisasikan dan memberi kesan buruk.

Apa nasihat Datuk kepada rakyat dalam menilai manifesto Pakatan Harapan?

Rakyat harus bersikap rasio­nal dalam menilai segala janji-janji dalam manifesto mereka yang terbaharu ini. Nampak idea­listik, namun berdasarkan situasi negara, ia tidak realistik malah tanpa komitmen yang tegas untuk menangani permasalahan. Bahkan, kebanyakan apa yang ada dalam manifesto itu telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional dan mereka seolah-olah hanya meniru dengan dengan membuat penambahan sedikit sebanyak di sana sini selain membuat u-turn terhadap segala janji penghapusan dalam manifesto terdahulu.