TUNKU ABDUL AZIZ

Bekas pengasas bersama PKR, Ng Lum Yoong berkata, penglibatan beberapa bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam ceramah berkenaan yang pernah menentang pelaksanaan undang-undang tersebut semasa zaman pemerintahan Dr. Mahathir menjadi petunjuk jelas.

Malah katanya, slogan dan perjuangan pihak yang menentang ISA suatu ketika dahulu kini disifatkan hanyalah sebagai sia-sia.

“Kita lihat bagaimana aktivis sosial, Hishamuddin Rais pada tahun 1998 dahulunya begitu lantang dan pernah ditahan di bawah ISA turut berceramah.

NG LUM YOONG
NG LUM YOONG

“Jadi di mana prinsip mereka selama ini? Segala tohmahan dan cacian yang pernah dilemparkan oleh bekas tahanan ISA kepada Dr. Mahathir telah dilupakan semata-mata demi matlamat mereka, bukan untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau mengulas berkenaan Ceramah Jelajah Pakatan Harapan di kawasan perumahan Bukit Jana, Kamun­ting kelmarin oleh Dr. Mahathir dan pemimpin lain yang diadakan tanpa permit polis.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyifatkan Dr. Mahathir sebagai seorang yang tidak ikhlas dalam perjuangan.

“Semua orang tahu siapa Dr. Mahathir iaitu insan yang sinikal. Beliau fikir rakyat boleh percaya kepadanya setelah apa yang berlaku sebelum ini? Inilah individu yang kononnya ingin memegang tampuk pemerintahan negara sekali lagi.

“Beliau telah menyalahgunakan undang-undang negara sebelum ini dan sanggup bersekongkol dengan musuh politik pada zaman pemerintahannya untuk agenda peribadi,” ujarnya.