Perdana Menteri berkata, kerana taksubnya Dr. Mahathir untuk menjatuhkan kerajaan, beliau memaksa pemimpin pembangkang lain untuk menipu rakyat dengan menjanjikan penghapusan GST.

Menurut beliau, mereka semua sebenarnya sedar bahawa tanpa sumber pendapatan bagi menggantikan hasil minyak, ekonomi negara akan lumpuh dan rakyat akan menderita.

“Namun, Dr. Mahathir tidak kisah asalkan beliau dapat menjatuhkan kerajaan. Saya berharap rakyat Malaysia menolak dakyah dan peni­puan yang hanya bertujuan mengumpul sokongan tanpa sebarang rasa tanggungjawab kepada negara dan masyarakat,” katanya menerusi laman blog NajibRazak.com hari ini.

Menurut Najib, pembangkang telah pun memahami tujuan sebenar GST diperkenalkan dan mereka juga pernah berkali-kali menyatakan akan turut mengekalkan GST.

Katanya, selama ini pendapatan negara banyak ditampung daripada hasil minyak bagi memastikan perkhidmatan awam dan perkhidmatan asas dapat dinikmati rakyat.

“Namun, pada tahun 2014, harga minyak global mula menjunam dan Malaysia turut terkesan. Kea­daan ini menyebabkan hasil negara ketika itu berkurang sehingga lebih RM40 bilion, satu jumlah yang pasti menyebabkan banyak per­khidmatan terpaksa dihentikan.

“Menyedari kebergantungan hasil negara pada industri minyak adalah tidak stabil, GST diperlukan untuk memastikan perkhidmatan dan kemudahan asas dapat diteruskan,” katanya.

Najib memberitahu, sehingga hari ini, kualiti hidup rakyat masih terjaga kerana dibiayai GST.

Beliau menambah, hakikatnya tidak ada cukai yang popular walaupun banyak pembangunan dan kemudahan dapat diwujudkan hasil kutipan cukai tersebut.

“Untuk mengatakan GST berpunca dari kegagalan urus tadbir kerajaan adalah satu penipuan kerana 160 buah negara lain turut melaksanakan GST termasuk negara-negara maju seperti England, Perancis, Jerman dan Kanada,” jelasnya.

Malah Perdana Menteri berkata, Arab Saudi yang merupakan sebuah negara pengeluar minyak terbesar di dunia turut melaksa­nakan GST.