Katanya, hal demikian dapat dilihat apabila kebanyakan pemimpin Melayu dalam gabungan itu langsung tidak berani bersuara atau menyatakan pendirian apabila terdapat usaha untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Malah katanya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri kadang-kala dilihat tunduk dengan tuntutan pemimpin bukan Islam yang lebih 60 peratus berada di dalam Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan tidak boleh diharap untuk jaga bangsa dan agama kita. Menteri mereka (Pakatan Harapan) hendak bawa ICERD, langsung tidak ada yang mempertahankannya,” katanya ketika berucap sempena Himpunan Aman Rakyat Tolak ICERD di Kompleks Pas di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin: Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli; barisan kepemimpinan UMNO dan Pas negeri serta lebih 1,000 orang.

Sementara itu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berharap UMNO dan Pas tidak lagi bergaduh sesama sendiri sebaliknya kembali bersatu demi kepentingan Islam dan Melayu.

Dalam masa sama, beliau juga menyeru kepada rakyat negeri ini supaya hadir pada perhimpunan aman meraikan penolakan ratifikasi ICERD di Kuala Lumpur pada Sabtu depan.

“Pada 8 Disember ini (perhimpunan) akan dapat dilihat bagaimana orang Islam dan Melayu bersatu,” katanya.- UTUSAN ONLINE