Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, semetelahan pula pakaian sebegitu terbukti tidak menjejaskan prestasi atlet malah mereka juga umumnya tidak keberatan untuk mematuhinya.

Katanya, langkah yang diumumkan kelmarin akan dimulakan dengan para pemain bola sepak di semua peringkat yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu turut mendapat reaksi segera yang positif daripada pasukan hoki dan ragbi.

"Ini hanya terpakai untuk atlet Terengganu, bukannya arahan untuk altet luar dari Terengganu, kuasa kitai untuk Terengganu sahaja," ujarnya dalam sidang akhbar semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

 Wan Sukairi diminta mengulas kenyataan Syed Saddiq agar  kerajaan negeri tidak menganggu atlet dengan menghormati pilihan pakaian sukan mereka, dan menteri itu memberi jaminan akan mempertahankan mereka.

Syed Saddiq melalui laman Facebook dilaporkan berkata, menentukan pakaian yang harus dikenakan oleh para atlet adalah perkara membimbangkan kerana masa depan sukan seperti gimnastik, renang, dan bina badan akan terjejas.

Wan Sukairi dalam sidang DUN kelmarin berkata, dasar kerajaan negeri meletakkan Islam sebagai tonggak pentadbiran utama akan cuba meliputi semua aspek, termasuk sukan.

"Dalam melaksanakan dasar Islam sebagai dasar negeri  maka (pendekatan) Islam berada  bukan sahaja di masjid, surau tetapi di mana-mana termasuk di padang bola.

"Apabila kita pegang tampuk pemerintahan, kita berkewajipan jaga kebajikan rakyat, termasuk atlet..kebajikan ini bukan sahaja atas dunia tetapi mahu teruskan dalam  akhirat.. kita letakkan agama pertimbangan paling tinggi dalam setiap tindakan," tegas beliau.

Menyentuh mengenai pakaian atlet muslim dalam sukan gimnastik, renang dan bina badan yang dibangkitkan oleh Syed Saddiq, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri akan membincangkan secara lebih mendalam dengan mengambil kira padangan mufti sebelum garis paduan lengkap dikeluarkan kelak.

"Tentang apa yang boleh dan tidak boleh dalam sukan yang akan disertai...namun apa  yang penting ..agama didahulukan," ujarnya.

Beliau mengulangi kenyataannya bahawa pelaksanaan bermula dengan pemain bola sepak itu bagi menyuntik kesedaran dan  kefahaman serta galakan kepada seluruh atlet untuk memakai pakaian patuh syariah dalam setiap kejohanan yang disertai. -UTUSAN ONLINE