Keputusan dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Bentong dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melepaskan dua daripada empat portfolio disandangnya sebelum ini dan diserahkan kepada dua exco baharu.

Beliau kekal memegang jawatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Kewangan, Tanah dan Sumber Asli serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Ekonomi negeri.

Bagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani ditugaskan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak.

Manakala ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Kiram dilantik selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli.

Kedua-dua exco baharu itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Abdulaziz di sini.

Sementara itu, jawatan dipegang ADUN Lanchang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dipinda kepada Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi.

Manakala, portfolio ADUN Tioman, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain pula diubah kepada Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan.

Enam lagi exco kekal dengan jawatan masing-masing seperti diumumkan pada 23 Mei lalu.