TAN TEIK CHENG
TAN TEIK CHENG

Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng berkata, ketika ini semua parti komponen BN terutama MCA dan Gerakan masih dalam tempoh ‘bertenang’ selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Rabu lalu.

“Kita belum bincang apa-apa lagi buat masa ini. Apapun, biarlah (BN) Pusat yang membuat keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam sidang akhbarnya kelmarin, Chang Yeow yang juga Pengerusi Gerakan negeri memutuskan untuk berundur daripada politik sebagai tanda bertanggungjawab terhadap prestasi buruk BN negeri pada PRU-14.

MCA, Gerakan dan MIC tewas kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi manakala UMNO pula hanya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor serta dua kerusi DUN, masing-masing di Permatang Berangan dan Sungai Dua.

Bagaimanapun, keputusan itu dianggap mengecewakan berbanding PRU-13 kerana UMNO kehilangan satu kerusi Parlimen (Balik Pulau) dan lapan kerusi DUN iaitu Bertam; Pinang Tunggal; Penaga; Telok Ayer Tawar; Sungai Acheh; Pulau Betong; Bayan Lepas dan Teluk Bahang.

Dalam pada itu, Teik Cheng memberitahu, proses ‘bedah siasat’ terhadap keputusan PRU-14 di negeri ini dijangka dilakukan tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun menolak untuk memperincikan perkara tersebut buat masa ini. - UTUSAN ONLINE