Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, PRK Seri Setia sedang menyaksikan penerokaan politik baharu sambungan daripada PRK Sungai Kandis.

"Semalam saya berkata, orang PAS undilah UMNO. Hari ini saya tidak perlu lagi berkata, orang UMNO undilah PAS. Ia sedang dan pasti berlaku insya-Allah.

"Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa," kata Nik Mohamad Abduh dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Mohamad Abduh pada PRK Sungai Kandis 4 Ogos lalu menyeru ahli Pas untuk membantu dan mengundi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dari UMNO.

Nik Mohamad Abduh berkata, generasi baru adalah untuk Malaysia baharu dan politik Islam yang lebih dinamik dan terbuka.

Pada PRK Seri Setia 8 September nanti Dr Halimah, 58 akan berhadapan dengan calon PKR Halimey Abu Bakar, 46.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi.-UTUSAN ONLINE