NURUL IZZAH

Pencalonan Nurul Izzah di kubu kuat PKR itu bakal menggantikan ibunya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang berpindah ke Parlimen Pandan.

Wan Azizah merupakan penyandang ke­rusi tradisi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim itu selepas memenanginya pada pilihan raya kecil (PRK) Mei 2015 yang diadakan berikutan Anwar dijatuhkan hukuman penjara.

Sementara itu, pengumuman calon PKR negeri ini yang dibuat Wan Azizah semalam menyaksikan seramai tujuh penyandang DUN digugurkan termasuk Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Batu Maung).

Turut digugurkan ialah Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri iaitu Datuk Low Choo Kiang (Bukit Tambun) dan Datuk Maktar Shapee (DUN Sungai Bakap).

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang merupakan penyandang DUN Pantai Jerejak pula berpindah ke Johor dan bertanding di Parlimen Batu Pahat.

Dalam pada itu, hanya dua daripada lima orang ‘PKR bersaudara’ iaitu kumpulan yang dilabel berhaluan kiri oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang terselamat dan dicalonkan semula di kerusi masing-masing.

Mereka ialah Dr. Norlela Ariffin (Penanti) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk), manakala Cheah Kah Peng (Kebun Bungah), Ong Chin Wen (DUN Bukit Tengah) dan Dr. T. Jayabalan (DUN Batu Uban) digugurkan.

Muka baharu paling menonjol pula ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang akan bertanding di kerusi DUN Pantai Jerejak.

Saifuddin yang juga Penasihat Strategik kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng disebut-sebut sedang dipersiapkan untuk menjadi Ketua Menteri 1 sekiranya DAP kekal memerintah negeri ini selepas PRU-14.