Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjauhkan diri daripada terjebak dengan budaya sebegitu yang dilihat sebagai menjengkelkan.

Dalam masa sama, beliau turut melahirkan rasa simpati kepada individu yang menjadi mangsa politik lucah berkenaan.

Katanya, kesan negatif fitnah kotor tidak boleh sama sekali dipandang remeh kerana memberi kesan mendalam kepada semua yang terlibat terutama terhadap keluarga mangsa.

“Saya berharap keluarga (mangsa politik lucah dan fitnah) terus bersabar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kontroversi video seks songsang yang tular ketika ini yang dikaitkan dengan seorang Menteri kanan.

Dalam pada itu, katanya, fokus semua pihak ketika ini sepatutnya kepada usaha bagi membina Malaysia yang lebih baik.

Jelas beliau, cara berpolitik masyarakat bertamadun adalah dengan mengangkat wacana, idea, polisi serta dasar, bukannya serangan peribadi dan pembunuhan karakter.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata, media seharusnya mengutamakan berita-berita berkaitan isu dan usaha penting dalam menangani masalah rakyat berbanding isu politik kotor.

Katanya, liputan media terhadap serangan peribadi dan fitnah tidak mempunyai objektif lain selain mencemar nama dan karakter individu, mengakhiri kerjaya politik, menjatuhkan maruah dan reputasi mangsa.

“Sudah sekian lama kita dimualkan dengan permainan politik lucah dan fitnah. Demi generasi masa hadapan, hentikanlah,” katanya. - UTUSAN ONLINE