Beliau berkata, tindakan terbaik dalam isu berkenaan adalah secara bona fide atau berniat baik.

Beliau berkata, Biro Politik PKR akan bermesyuarat Selasa ini untuk meneliti isu berkenaan.

“Kita akan membicangkan dengan serius maklum balas yang diterima daripada anggota kita Selasa ini.

“Saya tidak mahu mengeluarkan sebarang spekulasi kerana sebaiknya kita ambil secara bona fide iaitu dengan niat dan pandangan baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Tanglung dan Jualan Amal di Pejabat Cabang PKR Indera Mahkota di sini malam ini.

Semalam, proses pemilihan PKR bagi sembilan daripada 15 cabang di Kedah terpaksa ditunda ke satu tarikh lain berikutan sistem e-undi yang pertama kali digunakan mengalami masalah teknikal.

Masalah itu juga mengakibatkan tercetus pergaduhan di lokasi pengundian setelah ahli yang hadir naik berang dipercayai kerana menunggu terlalu lama.

Berikutan itu juga, proses pemilihan parti bagi peringkat negeri Perlis yang dijadual berlangsung hari ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pula mendakwa kekecohan yang berlaku itu didalangi pemimpin parti tersebut di negeri berkenaan. - UTUSAN ONLINE