RAHMAD ISAHAK
RAHMAD ISAHAK 

Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, tindakan itu lebih berprinsip buat Nurul Izzah memandangkan beliau kini masih lagi merupakan wakil rakyat yang mewakili lebih 70,000 pengundi di Permatang Pauh.

Sementelah, tambah beliau, Nurul Izzah kini juga dilihat sebagai liabiliti kepada PH selain diserang oleh pemimpin serta penyokong PH berikutan dakwaan yang dibuat ketika ditemu bual di Singapura berkenaan.

“Umum menghormati sikap beliau yang tidak mementingkan soal politik kekeluargaan sebagai keutamaan tetapi sebaliknya meletakkan soal tanggungjawab seorang wakil rakyat sebagai perkara pokok.

“Tetapi itu tidak membawa sebarang makna jika masih terus ‘bersikap selamat’ bersama kerajaan PH yang kononnya dipimpin oleh seorang bekas diktator yang banyak merosakkan negara dan keluargannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Rahmad, demi kepentingan rakyat yang diwakilinya juga, adalah lebih baik Nurul Izzah bersama parti terbesar orang melayu seperti UMNO ketika Akta Anti Lompat Parti belum dijadikan undang-undang di negara ini.

Tambahan pula, katanya, jika mengikut sejarah Parlimen Permatang Pauh pernah menjadi milik UMNO yang ketika itu disandang bapa beliau sendiri sekali gus bukan kesalahan jika sejarah tersebut berulang kembali.

“Malah, soal peruntukan di kawasan berkenaan bukanlah satu kerisauan jika diwakili oleh pembangkang ketika pentadbiran kerajaan yang berteraskan “rule of law” serta berkonsepkan “rahmatan lil alamin” dipraktikkan secara adil,” katanya. - UTUSAN ONLINE