Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Dr. Mahathir sepatutnya menyalahkan diri dan partinya kerana tidak profesional, bukan mencari jalan mengaitkan pihak lain.

“Sejak dari awal lagi kita lihat program Nothing To Hide yang dianjurkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak profesional dan mempunyai niat tidak baik.

“Mereka tetap memaparkan gambar, nama serta tempat duduk untuk Perdana Menteri, sedangkan beliau tidak pernah memberi jawapan untuk hadir ke forum berkenaan.

“Di situ kita boleh nampak niat buruknya mahu memalukan Perdana Menteri. Kalau beliau datang, mereka akan malukan beliau, kalau beliau tak datang, mereka tetap akan malukan beliau dengan mendakwa beliau penakut,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Negaraku: Hari Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM mendakwa insiden kekecohan dalam Forum Nothing to Hide 2.0 dicetuskan oleh penyokong Najib, bukan oleh ahli parti PPBM. - UTUSAN ONLINE