Katanya, PH perlu konsisten dalam soal tersebut memandangkan pada tahun 2016 pembangkang sendiri mempersoalkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menari bersama beberapa menteri Barisan Nasional (BN) dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

“Hendak menari dalam acara peribadi soal tuan punya badan. Tetapi dalam acara rasmi, tokoh kehakiman dan Eksekutif kena jaga imej kebebasan dan integriti institusi kehakiman.

“Tahun 2016 kita pernah persoal Peguam Negara dan menteri menari di acara Merdeka (sambutan Hari Kebangsaan). Kita mesti konsisten,” katanya dalam laman Twitter beliau hari ini.

Dalam video yang tular itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas menari bersama di atas pentas dengan beberapa individu lain dalam acara yang dipercayai majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019.

Selain kedua-dua tokoh itu, antara mereka yang berprofil tinggi didapati berada dalam video sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong serta peguam-peguam yang dilihat sebagai pro-PH, Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim. - UTUSAN ONLINE