Dalam masa sama, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sela­ngor turut men­desak PKR supaya segera mengambil tin­dakan ke atas Sivarasa kerana tindakan mencemarkan masjid khususnya ruangan solat umat Islam, apa­tah lagi ia bukan kali pertama dilakukan pemimpin parti itu.

Timbalan Pengerusi Alumni Belia 4B Kota Raja, Muhd. Ali Zakariah berkata, perbuatan Sivarasa menjadikan ruang solat Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang untuk menyampaikan ceramah politik adalah perbuatan disengajakan walaupun sedar tindakan itu mencetuskan sensitiviti umat Islam.

"Sebagai wakil rakyat di Selangor adalah mustahil Sivarasa tidak memahami peraturan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang melarang masjid dan surau dijadikan pentas untuk berpolitik, apatah lagi beliau bukan beragama Islam. Pada saya ia sememangnya disengajakan.

"Sivarasa perlu meminta ma­af secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin dan seluruh umat Islam. PKR juga perlu membuktikan bahawa mereka parti yang menghormati institusi diraja dengan mengambil tindakan ke atas Sivarasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Rejim Ubah Selangor, Jefrizal Mohd. Jaafar pula berkata, Sivarasa bukanlah pemimpin pertama Pakatan Harapan diketuai DAP yang mengguris hati umat Islam kerana sebelum ini, sudah ramai berbuat demikian demi kepentingan politik masing-masing.

Katanya, jika pemimpin Pakatan Harapan peka dengan soal sensitiviti agama Islam, Sivarasa tidak akan sesekali menjadikan ruang solat untuk berpolitik kerana sebarang aktiviti termasuk sumbangan kepada orang ramai boleh dilakukan di pekarangan kawasan masjid.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS) Rosdi Long berkata, tindakan Sivarasa sesuatu yang amat mendukacitakan dan tidak sepatutnya berlaku.

Sehubungan itu jelasnya, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelak imej masjid tercemar dan orang ramai memandang rendah dengan institusi agama Islam.

“Dua minggu lalu JAIS melancarkan operasi menahan penceramah yang tidak ada tauliah tetapi menyampaikan tazkirah di masjid serta surau di negeri ini.

“Namun bagaimana orang bukan Islam pula boleh dibenarkan berceramah di masjid. Adakah kerana pemimpin politik itu sehaluan dengan mereka?

“Jais perlu tegas kerana ini bukanlah kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Tahun lalu perkara sama turut terjadi di Puchong,” katanya.