Status Muhammad Harris turut dipetik Utusan Malaysia hari ini berserta ulasan bagi mengukuhkan hujah berkenaan yang mendapat perhatian ramai.

Berikut merupakan tujuh lagi berita palsu paling epik yang boleh memanjangkan lagi ‘wayang’ politik DAP dan sekutu mereka:

1. Anwar : Pakatan Rakyat sudah menang

Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kemenangan Pakatan Rakyat di Twitter sebelum keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diumumkan untuk mewujudkan persepsi Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menipu dalam pilihan raya tersebut. Dalam status tersebut, Anwar menulis, “ PR has won. We urge UMNO and the EC to not attempt to hijack the results. #ubah”.

2. PRU-13 paling kotor

Dalam sebuah laporan berita, DAP meramalkan PRU-13 akan menjadi pilihan raya paling kotor dalam sejarah. Dakwaan ini turut diulang-ulang pemimpin lain sehingga penyokong mereka melakukan demonstrasi di hadapan Parlimen untuk menghalang wakil rakyat pembangkang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Mereka akhirnya kecewa kerana pemimpin kesayangan tetap mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen hasil kemenangan dalam ‘pilihan raya paling kotor’ seperti didakwa mereka.

3. Rafizi dakwa Tabung Haji rugi

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menulis artikel bertajuk “Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015” di akaun Facebook miliknya yang menyebabkan seramai 3,105 pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) hilang kelayakan menunaikan haji. Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Rozaida Omar berkata, pendeposit tersebut menutup akaun selepas hilang keyakinan terhadap Tabung Haji akibat penyebaran artikel tersebut.

4. Rafizi dakwa Abdul Rahman Dahlan beri kontrak kepada abang sendiri

Rafizi mengadakan satu sidang akhbar bertajuk “Skandal Baru UMNO Menteri Mana Pula Yang Kena?” yang mendakwa kontrak penganjuran Ekspo Negaraku 2017 diberikan kepada abang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. Rafizi kemudiannya mengakui kesilapannya yang ‘keliru’ kerana nama penerima kontrak tersebut juga berbinkan Dahlan.

5. Rafizi dakwa KWSP rugi

Rafizi beberapa kali menjaja cerita Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengalami kerugian kerana pelaburan luar dan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) namun syarikat tersebut terus mengekalkan prestasi kewangan yang positif.

6. Negara akan bankrap

Skrip yang sering diulang-ulang oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan, terutamanya Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang pernah mendakwa Malaysia bakal bankrap jika terus diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Namun kini prestasi ekonomi Malaysia terus dalam keadaan yang baik dengan terbaharu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia diunjur terus berkembang antara 5.5 hingga enam peratus tahun ini.

7. Bahaya pelaburan dari China

Pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan sering kali mendakwa negara telah dijajah oleh China apabila menerima banyak pelaburan dari negara tersebut. Dakwaan ini ternyata palsu apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sendiri mengalu-alukan pelaburan dari China dan mengakui ia bermanfaat untuk negara. Malah manifesto Pakatan Harapan sendiri komited menarik pelaburan asing. - UTUSAN ONLINE