Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau menggunakan formula pelantikan perlu dibuat secara inklusif bagi memastikan semua pihak diwakili dalam parti tersebut.

“Kita tidak boleh nafikan mengenai keperluan untuk membawa semua pihak masuk ke dalam parti.

“Saya telah bawa masuk Naib Presiden, Ketua Penerangan dan Ahli MPP lain dan ini dilakukan dalam mesyuarat,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan bola sepak pantai Piala Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya beliau meneliti semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, pelantikan yang menyusul selepas pemilihan parti perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar.

“Pelantikan yang telah diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi anggota dan tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan.

“Beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti,” kata Mohamed Azmin.

Anwar menambah, gesaan Mohamed Azmin itu adalah pendapat peribadinya.

“Dia mahukan orang tertentu keluar sedangkan saya mahu semua orang masuk, itu yang berbeza,” ujarnya.

Berdasarkan perlembagaan PKR, presiden parti itu diberi kuasa melantik lima anggota MPP, dua naib presiden, seorang setiausaha agung, seorang ketua penerangan, seorang bendahari dan 14 pengerusi negeri. - UTUSAN ONLINE