Semuanya akibat parti tersebut berkisar kepada kepentingan tiga individu iaitu Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali.

Semalam, bukti gelaran sedekad lalu itu masih relevan dalam konteks politik semasa walaupun banyak perubahan berlaku dalam blok pembangkang dan kerajaan.

PKR seperti mana sebelumnya, sama ada aman, tegang atau berkrisis tetap berkisar pada menjaga kepentingan tiga pemimpin berkenaan iaitu Azizah, Azmin dan Anwar.

Kemelut akibat rasa tidak puas hati berkenaan pemilihan calon telah ‘menggelegak’, tidak sempat disembunyikan lagi walaupun pemimpin utama PKR dikenali sebagai aktor politik yang hebat.

Azmin memang selalu memetik kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bahawa demokrasi adalah proses yang bising setiap kali berdepan media apabila ditanya konflik dalaman parti.

Memang betul Datuk Seri kata Obama itu, tetapi mana ada dalam sejarah seorang Presiden meninggalkan majlis sebaik sahaja timbalannya yang tiba 20 minit selepasnya bangun hendak berucap.

Alasan diberi, Wan Azizah perlu bergegas pulang ke ibu negara. Tengok riak wajah mereka berdua ketika duduk bersebelahan dalam majlis di Permatang Pauh itu pun semua faham yang Presiden PKR itu memang ‘perlu’ meninggalkan timbalannya lebih awal.

Hari ini pula, ada media melaporkan Azmin akan mengadakan pertemuan dengan Anwar di sebuah hospital, mungkin talian hayat terakhir sebelum senarai calon PKR terutama di Selangor diumumkan.

Sama ada nama-nama yang dikaitkan sebagai dikehendaki kem Azmin kekal ‘dicantas’ Wan Azizah atau sebaliknya, sama-sama nantikan malam ini. Yang pasti pemilihan calon nampaknya bukan sekadar untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetapi melangkaui hingga pemilihan parti, bimbang ada yang bertambah kukuh.

Apa pun, yang berlaku semalam telah beri sedikit gambaran betapa rapuhnya perpaduan dalam PKR. Bagaimana hendak tadbir negara jika bab calon pun dua pemimpin tertinggi boleh berbeza pandangan ke tahap itu. Nampak sangat masih saling meragui. -UTUSAN ONLINE