S. Nallakaruppan menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO dengan berpakaian baju Melayu di PWTC, semalam.

Meskipun berketurunan India, beliau tampil berbaju Melayu merah lengkap bersamping songket dan songkok sehingga sukar membezakannya dengan para perwakilan yang turut menggunakan warna sama.

Nallakaruppan ketika ditemui berkata, baju tersebut ditempah khas sebaik sahaja menerima surat jemputan ke perhimpunan tersebut yang bermula hari ini.

“Saya sudah ada tiga baju Me­layu tetapi baju ini lebih istimewa sebab saya tempah khas untuk dipakai dalam majlis perasmian perhimpunan hari ini.

“Saya menggunakan baju ini untuk berkongsi semangat dengan para perwakilan, lagi pun ini adalah baju kebangsaan, justeru kaum lain juga amat digalakkan untuk menggunakannya,” katanya.

Penampilan istimewa itu menyebabkan lagak Nallakaruppan seakan-akan seorang selebriti terkemuka kerana terpaksa melayan permintaan beberapa perwakilan dan pemimpin UMNO yang mahu merakamkan gambar selfie dan berkumpulan bersamanya.

Mengulas mengenai ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nallakaruppan berkata, Perdana Menteri berjaya menjawab mengenai beberapa isu yang selama ini menggusarkan ahli UMNO dan rakyat Malaysia.

“Ini adalah antara ucapan terbaik beliau. Saya harap penera­ngan itu dapat memberi jawapan yang ditunggu-tunggu semua pihak dan selepas ini tiada lagi tuduhan-tuduhan liar dibuat,” katanya.