Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, sama ada PRU-14 diadakan pada tahun ini atau tahun depan, beliau meletakkan keya­kinan untuk mempertahankan pemeritahan kerajaan di atas satu semangat kerjasama konsensus kukuh dalam BN.

“Bila kita nak menang perang? PRU-14 sama ada diadakan tahun ini atau tahun depan, tahun ini pun boleh menang, tahun depan pun insya-Allah boleh menang. Semangat kita kuat dan luar biasa, sudah tidak sabar nak lawan, ini semangat kepahlawanan.

“Saya harap kita boleh membuat persiapan atau kesiapsiagaan yang cukup rapi. Saya percaya, sebelum kita melakukan kerja besar kita perlu buat persiapan rapi sehingga tiada satu batu pun tertinggal,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 5,000 ahli pergerakan sayap UMNO dan BN dalam pelancaran jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta pemimpin-pe­mimpin parti komponen BN.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, semua kepemimpinan dan jentera parti tidak boleh bekerja seperti dahulu dalam lohong dan silo masing-masing, sebaliknya bekerja sebagai satu pasukan dan bersepadu sebagaimana yang telah diamalkan kerajaan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“JR sebelum ini Wanita jadi kumpulan utama tetapi ditambah dengan Pemuda, Puteri, ahli-ahli komponen di semua peringkat dan badan-badan lain berikan kerjasama dalam satu semangat JR Plus dan NBOS dengan satu ikatan kekeluargaan lebih besar dan bertenaga untuk membawa ke arah kejayaan.

“Jadi saya harap semua balik buat kerja dahulu jangan tanya bila PRU-14. Jangan fikir jadi calon, jangan berbalah tetapi bersatu hati, bersatu fikiran, bersatu dalam tindakan, satu ikatan BN, kita akan berjuang habis-habisan. Lawan tetap lawan, kita pertahan Putrajaya,” katanya.

“Yang boleh bertahan lama adalah parti keramat UMNO dan BN kerana ada kerjasama yang tulen bukannya kerjasama tidak tentu arah. Berbanding Pakatan Harapan diketuai DAP mereka tidak boleh harap, mungkin boleh menang kerusi tertentu tetapi tidak boleh tubuh kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Najib mengingatkan,seluruh jentera parti tidak terlalu yakin dan jangan berlagak apabila turun padang bertemu rakyat, sebaliknya bersikap sederhana dan merendah diri demi menjaga hati rakyat.

“Kalau pergi kampung jangan bawa kereta mewah, berpakaianlah biasa, apa salah makan di gerai, kita mesti simplicity. Kita pemimpin kena jaga hati rakyat, jangan nak dekat pilihan raya baru nampak muka,” katanya.