Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, Najib hari ini sempat meluangkan masanya untuk melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Rasa dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batang Kali, memandangkan kedua-dua sekolah itu mendapat peruntukan daripada kerajaan Pusat bagi membina bangunan baharu dan prasarana prasekolah.

Meskipun tujuan sebenar Najib berada di kawasan Hulu Selangor adalah bagi merasmikan jentera BN Selangor, namun Kamalanathan berkata, Perdana Menteri tetap mahu mengambil kesempatan untuk melawat dua sekolah berkenaan demi memastikan janji yang dibuat oleh parti dapat ditunaikan.

“SJKC Rasa mendapat dana sebanyak RM3 juta untuk membina bangunan baharu manakala SJKT Batang Kali merupakan antara sekolah yang mendapat peruntukan untuk membina prasekolah menerusi Bajet 2016.

“Beliau gembira dengan perkembangan yang berlaku selain turut memberikan beberapa cadangan. Terima kasih kepada Perdana Menteri atas inisiatif dan usaha ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Perdana Menteri ke kedua-dua buah sekolah berkenaan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE