Menurutnya, rasa 'tidak faham' itu timbul apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) menerima pujian hampir setiap minggu daripada kepemimpinan hari ini.

Kata beliau, bermula minggu lalu apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan kenyataan menyatakan strategik BN baik dan berada di landasan betul kerana berjaya menarik pelaburan swasta sebanyak RM1.9 trilion.

"Pagi ini pula, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memuji kejayaan BN sejak tahun 1950 kerana membangunkan negara dengan kadar pertumbuhan yang jauh lebih tinggi berbanding kadar purata pertumbuhan ekonomi dunia.

"PH juga puji BN kerana mewariskan sebuah negara berdaya saing yang amat kuat pada peringkat antarabangsa," katanya dalam status Facebook beliau hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mempersoalkan tindakan PH dan DAP selama ini yang kerap menuduh negara ini telah rosak, hancur dan bankrap setelah 60 tahun berada di bawah BN.

"Apa terjadi tuduhan-tuduhan ramai rakyat menganggur, mati kebuluran atau terpaksa makan pasir dan rumput di bawah BN?

"PH sudah puas memfitnah dan kini mahu cuba memuji kita, ke?" kata Najib yang juga bekas Pengerusi BN.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diterajui oleh menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, ekonomi negara telah berkembang dengan kadar purata 6.2 peratus setahun dalam tempoh empat dekad, sejak 1971 hingga 2017.

Jelas kenyataan tersebut, pertumbuhan itu seiring dengan kadar onflasi yang rendah dan stabil iaitu kurang daripada tiga peratus secara purata pada tempoh yang sama.

"Negara juga menikmati tahap guna tenaga penuh semenjak 1992 lagi iaitu kadar pengangguran kurang daripada empat peratus," katanya. - UTUSAN ONLINE.