Menjelaskan perkara tersebut, Guan Eng berkata, ini kerana segala urusan berkaitan dengan Kha­zanah Nasional Bhd. (Khazanah) adalah di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Najib ada buat kenyataan terhadap saya dan saya rasa dia sesat sasaran kerana perkara ini bukan di bawah saya, Khazanah di bawah Perdana Menteri, saya tidak terlibat.

“Saya pun tidak terlibat dalam urusan itu. Jadi saya harap ja­nganlah apa-apa pun hendak salahkan saya,” katanya selepas merasmikan program ‘Smart Green Community’ di Tapak Pertanian Dalam Bandar Lebuh Padang Tembak, di sini hari ini.

Sebelum ini, Na­jib menerusi laman Facebook beliau mempersoalkan pengumuman kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mana Kha­zanah menjual kepentingan 16 peratus dalam IHH Berhad kepada kumpulan Jepun, Mitsui dengan harga RM8.42 bilion.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan PH memerlukan sekurang-kurangnya masa selama tiga tahun untuk membawa negara ini kembali ke pangkal jalan dari segi ekonomi.

“Sungguhpun sekarang eko­nomi dalam keadaan tenat tetapi saya yakin setelah melihat beberapa unjuran yang baharu, bukan sahaja dari segi pelaburan langsung asing (FDI) sahaja kita naik, malahan dalam laporan ekonomi Bloomberg yang terbaharu, antara semua negara memba­ngun, Malaysia nombor satu,” katanya.

Dalam perkemba­ngan lain, ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis pe­rasmian naik taraf kaunter aduan Balai Polis Butterworth dekat sini, Guan Eng berkata, semua pihak perlu berhenti daripada mempertikaikan mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan cadangan kereta nasional ketiga.

Ini kerana, katanya, usaha itu merupakan perkara yang mendatangkan kebaikan dalam bidang inovasi negara dan sehingga kini juga, kerajaan tidak membuat keputusan untuk melabur dalam projek tersebut melainkan daripada pelaburan pihak swasta.